Solat Jumaat

AlhamduliLLah dapat lagi Solat Jumaat hari ini. Ternampak jugalah beberapa orang lelaki Islam yang masih berada di warung-warung. Ketika itu bilal sudah memanggil-manggil agar bersegera ke masjid (azan sedang berkumandang). Sepatutnya tuan empunya warung (orang Islam juga) tersebut sudah 'faham bahasa' untuk menutup kedainya agar lelaki Islam yang masih makan dan minum dan baru datang untuk membeli makanan melupakan hasrat mereka (kerana waktu Solat Jumaat bukanlah panjang pun).

ALlah sudah menegaskan di dalam Al Quran di dalam Surah Jummu'ah:


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡاْ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُواْ ٱلۡبَيۡعَ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (٩) فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَٱبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (١٠)


Wahai Orang beriman! apabila kamu diseru untuk mendirikan solat (mendengar azan pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingati ALlah (solat Jumaat) dan tinggalkanlah jual beli. Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah al Jumu'ah : 9 - 10)


ALLahu ALLah... semoga ALLah memberikan petunjuk kepada mereka ini. Semoga duit tidak menabiri mata, dan dunia tidak menyelubungi diri mereka..

Kaki saya terus melangkah menuju ke masjid dan seterusnya menyudahkan kewajipan sebagaimana layaknya seorang Muslim.

Wahai kaum lelaki! Anda dilarang meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran

Diceritakan oleh Abdul Ja'di Adl Dlamary bahawasanya RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

Barangsiapa meninggalkan 3 kali solat Jumaat kerana memudah-mudahkannya, ALLah mencapkan (nifaq - sifat munafiq) di hatinya. (Riwayat Ahmad, menurut al Hakim - Sahih menurut syarat Muslim)

AbduLLah bin Mas'ud radiyaLLahu anhu menerangkan bahawa Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda (yang bererti:

Sesungguhnya aku berkeinginan benar akan menyuruh seseorang bersolat dengan para jamaah, kemudian aku pergi membakar rumah-ruma mereka yang tidak mahu menghadiri jamaah Jumaat beserta dengan mereka sendiri. (Hadith riwayat Ahmad dan Muslim)

Keistimewaan Hari Jumaat

Hari Jumaat adalah hari yang mulia, masa belajar dulu ustazah selalu ingatkan. Bahawa inilah penghulu segala hari, dalam seminggu inilah sahaja yang ada Solat Jumaat dan tiada pada hari-hari lain. Diwajibkan pula untuk orang lelaki Islam yang sudah cukup syarat untuk mengerjakannya iaitu : Islam, baligh, merdeka dan bermustautin (tinggal tetap), disamping mendengar khutbah yang dapat membina hati serta bersilaturrahim dengan ahli masjid yang lain.

Dari Abu Hurairah radiyaLLahu anhu bahawa RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda (yang bererti ) "Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya adlaah hari Jumaat. Pada hari itulah Adam dicipta, pada waktu ini pula dimasukkan dalam syurga dan waktu itu juga dia dikeluarkan daripadanya. Hari kiamat tidak akan terjadi kecuali pada hari Jumaat." (Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa'i serta Tirmidzi yang mengesahkannya)

ALLahu ALLah... ke mana menghilangnya ramai kaum lelaki Islam pada hari ini untuk bersolat Jumaat..

Comments

Popular posts from this blog

Takdir