Kehidupan malam KL dan UK .

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM (Pengerusi majlis fatwa Malaysia) Mingguan Malaysia 10/04/2005


SEORANG ibu yang saya temui semasa menyertai satu program anjuran Jabatan Penuntut Malaysia London minggu lepas, menyatakan bahawa anak remajanya yang berada bersamanya di Manchester, tempat dia sedang menyiapkan tesis doktor falsafahnya, tidak pernah keluar rumah pada waktu malam semasa
berada di sana. Tetapi ketika kembali ke Kuala Lumpur masa cuti baru-baru ini, anaknya itu boleh dikatakan setiap malam meminta kebenarannya untuk keluar malam.

Di bandar raya tempat kediamannya di United Kingdom (UK) tersebut, pada waktu malam tidak ada ``kehidupan'' di dalam bandar, atau di jalan-jalannya. Kebanyakan kedai menutup pintunya sebelum menjelang waktu maghrib, bukan kerana penjaganya hendak bersembahyang maghrib, sebab kebanyakan mereka bukanlah beragama Islam, tetapi kerana masa berniaga di
sana, hanyalah sekadar pukul 6 atau 7 malam. Selepas itu kedai ditutup, tiada perniagaan lagi.

Itulah gambaran kehidupan malam di UK pada keseluruhannya. Malah di kota raya London yang terkenal dengan kesibukannya itu pun, kedai dan gedung perniagaannya pada umumnya, menutup pintunya pada pukul 6 atau 7 malam. Jalan raya yang terkenal dengan syurga membeli-belahnya kepada para pelancong tempatan dan luar negara, termasuk pelancong dari negara kita, seperti Oxford Street, lengang menjelang malam, atau lewat petang.

Bagi sesetengah kalangan, hal ini menunjukkan kemalasan orang putih untuk berniaga, tetapi bagi orang-orang seperti ibu yang saya maksudkan di atas, hal ini agak sihat di dalam masyarakat moden yang amat canggih dan mencabar ini. Apa gunanya berniaga dan mendapatkan keuntungan yang banyak,sekiranya hal itu membawa kepada satu gejala yang dapat mengorbankan nilai-nilai murni kehidupan, apa lagi bagi masyarakat beragama seperti
kita ini?

Sebab itulah, ibu yang saya sebutkan di atas, menyatakan bahawa anak remajanya pada waktu malam di rumahnya di UK, akan berada di rumah, menonton televisyen, melayari komputer, membaca buku pelajaran dan sebagainya. Atau kalau tidak ada apa yang hendak dibuatnya, maka dia akan segera menarik selimut, belayar dalam alam mimpi, terutamanya ketika berada di dalam bilik yang dingin, pada musim sejuk.

Tetapi ketika balik ke Malaysia kerana menghabiskan cuti, kepala ibu menjadi pening, kerana hampir setiap malam anaknya itu akan meminta kebenarannya untuk keluar malam bersama kawan-kawannya. Di UK anaknya mempunyai kawan sebaya juga, tetapi dia tidak pula sibuk untuk keluar dengan rakannya itu, malah rakannya juga tidak akan keluar pada waktu malam, kerana seperti yang dinyatakan di atas, di sana tidak ada kehidupan malam. Tidak ada restoran 24 jam, tidak ada gerai yang menjual nasi lemak atau roti canai, dan tidak ada gerai untuk mereka lepak-lepak berbual sampai pagi, pukul tiga atau empat, sambil minum-minum teh tarik atau
Coca-Cola.

Di UK ibu remaja tersebut juga dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kajian dan tesis Ph.Dnya tanpa risau atau bimbang dengan keselamatan anaknya, kerana anaknya berada di dalam rumahnya mulai dari waktu senja sehingga pagi esok. Tetapi di Malaysia, kalau anaknya tidak minta keluar pada waktu malam, rakan-rakannya pula yang akan menelefonnya mengajak keluar. Waktu yang dipilihnya untuk keluar malam itu pula, bukan
pada pukul 8 atau 9 malam, tetapi kebanyakannya, pada pukul 10 atau 11 malam baru mula nak pakai baju untuk keluar. Keluarnya pula bukan sejam dua, tetapi sampai berjam-jam, kadang-kadang menjelang azan subuh baru pulang keletihan dan mengantuk. Ketika itu hanyalah bantal yang menjadi temannya, dan segala azan atau subuh akan dibiarkan berlalu begitu sahaja, kerana badannya terlalu letih, dan matanya tidak mampu dibuka lagi.

Apabila orang mulai tidur pada pukul 4, 5 atau 6 subuh, tentulah dapat dibayangkan pukul berapa baru dia dapat bangun. Malah dapatlah juga dibayangkan bagaimanakah beratnya kepala dan badan orang yang bertindak demikian, kerana dia sebenarnya telah melanggar sunah alam, iaitu kejadian siang dan malam yang dijadikan Allah untuk tidur dan jaga.

Allah menjadikan malam untuk manusia berehat dan tidur, dan siang ialah untuk berjaga dan bekerja, kerana kejadian fizikal serta fitrah manusia pun telah diprogramkan begitu oleh sunah alam, maka ketika manusia menukar fitrah kejadian Allah itu, kehidupannya tentulah tidak normal dan seimbang lagi.

Memang suasana sekeliling yang sebenarnya mencorakkan kehidupan kita manusia ini. Di London tidak ada gerai untuk kita melepak, tetapi di Bangsar atau Sri Hartamas, terlalu banyak gerai yang menarik kehadiran generasi tua dan muda untuk berjaga malam. Di London, bar atau pubnya, kebanyakannya hanya dibuka sehingga pukul 11 malam, tetapi di Bangsar dan tempat-tempat lain, mungkin dibuka sehingga pukul 2 atau 3 pagi. Kalau undang-undang mengatakan mereka boleh membuka hingga pukul 2 pagi
umpamanya, mereka cuba-cuba juga membukanya hingga pukul 3 atau 4 pagi, kerana biasanya pihak berkuasa tidak menghantar penguat kuasanya untuk melihat sama ada para peniaga itu mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan ataupun tidak.

Di London dan bandar-bandar lain juga di UK, orang yang meminum minuman ringan atau arak, nampaknya senyap-senyap saja di dalam kedai minuman, kerana mereka tidak boleh membawa minuman itu keluar premis yang ditetapkan. Tetapi di bandar ala Amerika atau New York negara kita, semua orang yang berjalan di atas jalan, dapat melihat orang meminum minuman keras atau ringan di dalam kedai minum, atau kadang-kadang kelihatan kelibat manusia berjalan, atau berarak di tengah jalan dengan botol atau
tin minuman keras di tangannya.

Inilah suasana dan persekitaran yang merunsingkan kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak remaja sekarang ini di negara kita, seperti yang diceritakan oleh ibu di atas, khususnya di bandar-bandar yang telah dicorakkan sebegitu rupa, supaya kelihatan seperti bandar koboi, atau yang bersuasana kota uncle tom.

Bagi sesetengah golongan, mungkin hal ini tidaklah merupakan isu besar yang merunsingkan. Apa salahnya budak-budak muda itu keluar berhibur dan sembang-sembang dengan rakan sebayanya sepanjang malam, sambil minum teh tarik?

Malah bagi sesetengah ibu bapa moden pun, mungkin mereka beranggapan, apa salahnya anak-anak saya berada di luar, sama ada di gerai minum Coca-Cola, atau di kelab malam berhibur? Saya tahu anak saya berada dalam kelab malam, dan dia selamat di sana, malahan dia berjanji dengan saya akan balik ke rumah pada pukul 3 pagi, jadi apa yang hendak dirisaukan, dia berada di tempat yang selamat, bukan di atas jalan?

Tetapi bagi ibu yang berada di Manchester itu, dia mempunyai pandangan yang amat berlainan. Bila pulang ke Malaysia, dia risau anaknya terpengaruh dengan unsur jahat di luar, takut terlibat dalam permainan jahat, cuba-cuba minum Coca-Cola atau air syaitan, hisap itu atau hisap ini, hidu itu atau hidu ini, dan takut juga bila keluar dari tempat minum, ditangkap pula oleh jabatan agama Islam, bukankah malu dibuatnya? Atau kalau tidak ditangkap jabatan agama yang menjadi polis moral yang mengacau daun itu pun, mungkin pula anaknya itu menumpang kereta mewah kawannya, yang dipandu secara gila-gila, seterusnya berlanggar dan mengorbankan nyawa anaknya itu? Bukankah hal ini memeningkan kepala ibu tersebut?

Seterusnya dia takut pula, kesihatan anaknya terganggu, kerana tabiat tidur dan jaganya tidak mengikut fitrah kejadian dan biologikal manusia lagi, yang pada jangka panjangnya tentu akan menyebabkan mudarat kepada badan dan pemikiran, fizikal dan mentalnya. Malah lebih dari itu, dia risau juga kerana anaknya tak dapat sembahyang subuh, sebab bagaimana nak bangun subuh, kalau pukul 3 atau 4 baru nak tidur?

Oleh itu, katanya, lebih baik dia tinggal di negara orang putih ini saja. Tak payah risau dan susah hati, tidak pening kepala dan tak perlu fikir yang bukan-bukan, seperti yang dialaminya di Malaysia ketika anaknya keluar malam dan tidak pulang-pulang hingga dinihari. Dia sendiri tidak dapat tidur malam, dan bukan hanya tidak dapat tidur, malah fikirannya juga menjadi runsing dan buntu, mana nak fikirkan hal tesisnya yang belum selesai, ditambah pula dengan perilaku anaknya yang melampau itu. Kalau tidak dibenarkan anaknya keluar di negara sendiri, nampak macam tidak adil pula, tambahan pula dia balik bercuti sekali-sekala sahaja, bukan selalu,
dan peluang anaknya berjumpa kawan-kawannya pula hanyalah semasa balik cuti itu.

Saya hanya mendengar saja ceritanya itu, kerana saya ke sana bukanlah sebagai pakar runding cara, atau pakar motivasi. Tetapi terlintas juga di kepala saya, takkanlah pula kita yang berada di negara sendiri, beramal, beragama dan berbudaya serta berbudi bahasa, akan lari ke negara Barat yang pesimis, negara orang tidak beragama dan tidak beriman, malah negara yang sentiasa kita anggap jahat itu?

Sehingga saya selesai menulis catatan ini, saya masih tidak tahu,
bagaimanakah keadaan yang kusut ini hendak kita rungkaikan. Bagaimanakah kecelaruan perasaan hati kecil seperti hati kecil ibu yang prihatin ini dapat kita tolong redakan. Dia berkata juga bahawa dia takut sekiranya pengalaman dan kerisauan ini berterusan, mungkin satu hari dia akan mendarat di dalam klinik psikiatri kerana mengalami penyakit kemurungan dan tekanan jiwa yang hebat!

Namun kalau dia hendak terus tinggal di UK pula, dia tidak akan dibenarkan berbuat demikian, kerana dia sedang memakan wang universiti yang menyara dan membelanjakannya untuk mendapatkan ijazah tinggi itu, ertinya mahu tidak mahu, dia mestilah pulang ke negara sendiri.

Oleh itu persoalan yang ditimbulkannya, apa mungkinkah bila dia pulang nanti keadaan di sekelilingnya, khususnya pada waktu malam akan berubah? Mungkinkah cara hidup dan budaya kehidupan malam di negara sendiri yang kelihatan tidak terkawal itu akan mempunyai disiplin dan batas-batas tertentu yang tidak memberikan ruang kebebasan yang begitu banyak kepada
generasi muda untuk mengubah sunah Allah dalam memanfaatkan siang dan malamnya?

Saya berfikir, sekiranya pun hendak diadakan perubahan yang radikal, maka siapakah pula yang akan mengadakan perubahan itu? Jabatan agama? Kerjanya sebagai ``polis moral'' tidak diperlukan lagi oleh banyak kalangan. Akta moral? Akta itu telah didesak supaya dimansuhkan. Ibu bapa? Ibu bapa pun, ada yang suka kehidupan dan gaya hidup anak mudanya seperti itu. Jadi siapa? Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui, wallahualam bissawab.

Comments

Popular posts from this blog

Takdir