Kisah Jarum

Di suatu bandar besar terdapat 10 orang lelaki yang mahir membuat jarum. Mereka masing-masing bekerja sebagai tukang pembuat jarum. Setiap orang pada setiap hari, dapat menyiapkan hanya 3 bilah jarum. Mereka tidak dapat menyiapkan lebih dari 3 bilah jarum sahaja.

Akhirnya mereka bersepakat untuk bekerjasama dan membahagikan tugas untuk meningkatkan pengeluaran jarum.

Jadi, mereka dapat membuat pengkhususan kerja. Seorang tukang jarum ditugaskan mencari logam atau besi untuk dijadikan jarum. Seorang lagi bertugas menguruskan dan menyediakan bahan api. Seorang tukang lagi bertugas membentuk lubang jarum, seorang yang lain bertugas memasukkan jarum ke dalam api yang disediakan dan tukang yang lain bertugas mengasah jarum menjadi tajam. Dan begitulah seterusnya tukang jarum yang lain berperanan dalam menghasilkan jarum.

Masa setiap orang tidak berlalu sia-sia kerana masing-masing ada bahagian yang dipertanggungjawabkan. Mereka dapat menyelesaikan dengan cepat dan kemas kerana kerja mereka terfokus serta mereka mahir setelah berulang kali dilakukan.

Setelah dihitung pengeluaran jarum mereka, setiap tukang jarum itu telah berjaya menghasilkan 300 bilah jarum satu hari jika dibandingkan hanya 3 bilah sebelum ini. Inilah hasil dari kesatuan dan pembahagian tugas.

Daripada kisah di atas yang albazrah adaptasi dari Risalah Ikhlas, Risale-i Nur oleh Ustaz Nursi, nyata di sini keikhlasan dan persaudaraan sangat penting. Keuntungan di dunia seperti kisah jarum di atas terbukti dengan kerjasama dan keikhlasan, sifat mempercayai dan tidak berhasad dengki sesama tukang jarum.

Keuntungan di dunia dapat kita lihat seperti kisah berkenaan. Menurut Ustaz Nursi, begitu juga amalan untuk akhirat. Kalau kerja baik, amar makruf nahi mungkar dan apa sahaja urusan yang diniatkan untuk akhirat keuntungannya lebih berganda. Setiap kebaikan diganda sepuluh. Dalam keadaan tertentu dan waktu tertentu ia meningkat dan berganda lagi.

Sudahlah wahai pejuang Islam, wahai yang mendakwa diri berjuang untuk Islam, jangan hanya melihat kekurangan orang lain. Mainlah peranan di bidang kepakaran masing-masing. Bersatulah memperjuangkan Islam tercinta dengan keupayaan dan kemahiran masing-masing yang telah Allah kurniakan. Semua keuntungan akhirat akan yang berganda itu tidak akan dapat kita kecapi dengan saling berhasad dan tiada keikhlasan.

Subhanaka la 'ilma lana illa ma 'allamtana, innaka Antal 'Alimul Hakim


---
Artikel ini ditulis oleh Al-Bazrah.

Comments

Popular posts from this blog

Takdir