Anda Bahagia

Bagaimanakah cara anda berdepan dengan situasi yang tegang dan menyuliTkan? Seperti misalnya anda telah ketinggalan keretapi, kapal terbang, bas atau sesuatu yang tidak anda harapkan berlaku.

Perkara ini tentunya akan membuatkan fikiran anda menjadi tegang dan terasa buntu hinggakan orang lain yang berada di sekelilling anda menyedari bahawa anda sebenarnya sedang berada di dalam kegelisahan.

Soalnya perlukah anda tunjukkan kegelisahan anda itu? Adakah ini suatu yang mendatangkan kebaikan buat anda atau sebaliknya?

Sebenarnya sikap negatif yang anda lakukan itu adalah suatu yang merugikan diri anda sendiri juga. Merasa gelisah tidak menentu tanpa membuat sesuatu yang boleh mengeluarkan anda dari kegelisahan itu adalah sesuatu yang akan memburukkan lagi keadaan.

Anda tidak dapat memberikan apa-apa faedah kepada diri sendiri dengan hanya duduk dan merasa gelisah atau memandang ke sana sini tanpa apa-apa inisiatif dari diri anda.

TENANG

Adalah lebih baik kiranya anda cuba bersikap tenang. Tentunya bukan mudah untuk bertenang di dalam keadaan begini bukan? Tetapi tidakkah anda ketahui dengan menyalahkan diri sendiri atau cuba menyalahkan orang lain hanya akan menambahkan kerumitan anda.

Langkah pertama yang harus anda lakukan ialah fikirkan secara logik apakah yang patut anda lakukan. Misalnya, kalau anda terlepas kenderaan pengangkutan awam sedangkan tiket masih tergenggam di tangan anda. Sekiranya anda terasa ragu-ragu untuk memulakan langkah anda eloklah anda pergi ke tempat bertanya di mana harus anda mendapatkan pertolongan. Setelah itu pergilah ke kaunter yang berkaitan dengan masalah itu.

Adakalanya kita merasa takut untuk mengemukakan masalah kita. Sedangkan anda berhak, kerana anda bukanlah cuba menipu tetapi anda sebenarnya mungkin menghadapi kesulitan di waktu dalam perjalanan tadi seperti kesesakan jalanraya atau sebagainya.

Dengan berani berdepan begini sekurang-kurangnya anda mungkin dapat dibantu oleh pihak yang berkaitan dengan masalah anda. Mungkin kalau anda bernasib baik atau anda seorang peramah anda akan mendapat kawan pula dengan orang berkaitan.

Tidakkah anda rasakan bila anda bertenang dan bersikap baik dengan orang sekeliling anda, itu adalah lebih menguntungkan dari anda menjadi marah atau `tension' tidak menentu.

Begitu juga kalau anda sedang menghadapi kesakitan atau baru mendengar berita yang mengejutkan. Perkara ini memang akan menimbulkan suatu perasaan yang tidak menentu dalam diri anda. Ianya adalah suatu kejadian normal dalam diri seorang manusia. Tetapi hal yang perlu diingatkan ialah anda tidak perlu terlalu mengikut perasaan anda itu.

MENGAMUK

Ada orang yang sanggup menangis hingga menjerit-jerit atau melakukan perkara-perkara yang tidak mengikut akal fikiran yang waras bila menerima berita atau peristiwa yang tidak mampu dihadapi. Selalunya golongan wanita lebih mudah bertindak begini.

Tetapi tidak dinafikan ada juga sesetengah atau segelintir kaum lelaki yang mudah mengikut perasaannya. Mereka akan mengamuk atau pergi ke sasaran yang menjadi punca perkara yang didak diingini itu berlaku.

Sebagai orang Islam kita diajarkan supaya dapat menerima takdir, atau qada dan qadar. Segala ketentuan dalam kehidupan ini sudah disuratkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Bagi mereka yang memahami dapatlah menerima segala yang mendatang dengan tenang.

Islam amat melarang, kita menampar-nampar muka, mengoyak-ngoyak baju atau sebagainya. Seolah-olah memprotes hukum Tuhan yang telah ditakdirkan ke atas diri kita.

Sekiranya anda dapat menerima dengan tabah setiap `bala' yang datang, bersedia menyelesaikannya dengan wajah yang tenang dan berseri, itu tandanya anda tergolong dalam orang-orang yang berbahagia dalam hidup

Comments

Popular posts from this blog

Kehidupan malam KL dan UK .